Oleh : Muhammad Khairulanwar Ali Rahman/ Foto : Ihsan Urus Setia Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA Ke-33
BANGKOK, THAILAND, Khamis, 11 Disember. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, SEA Games Federation Honorary Life President dan Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyaksikan perlawanan Karate di temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Ke-33.
Bagi acara Karate, Pasukan Kata Lelaki Negara Brunei Darussalam (NBD) menunjukkan persembahan baik dari segi teknik dan keselarasan, namun tewas dalam pusingan awal dan peringkat 'repechage'. Manakala, Pasukan Kata Wanita tidak mara ke pusingan seterusnya, namun atlet-atlet tetap mempersembahkan teknik terbaik mereka dan bertekad untuk bangkit pada masa hadapan.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah seterusnya berkenan melawat ke tempat pertandingan dan latihan atlet Wushu.
Dalam acara lain, pasukan Sepak Takraw NBD telah memberikan tentangan sengit kepada Republik Indonesia. Ketiga-tiga regu lelaki beraksi dengan penuh semangat, di mana Regu Pertama tewas 0 - 2, Regu Kedua memberikan perlawanan menarik sebelum tewas 1 - 2, dan Regu Ketiga berjaya meraih kemenangan penting 2 - 1, sekali gus menunjukkan peningkatan dan daya juang yang memberangsangkan.
Sementara itu, dalam acara Taekwondo Kyorugi, atlet NBD, Awang Muhammad Abrar Wa'ie bin Haji Bakar (@Muhammad Bisyukri) telah tampil penuh keyakinan di peringkat suku akhir. Walaupun tewas 0 - 2 kepada atlet Republik Singapura, semangat juang dan usaha beliau sepanjang perlawanan tetap membanggakan.
Secara keseluruhan, walaupun menghadapi hasil yang tidak dijangka, semangat dan dedikasi yang dipamerkan oleh seluruh kontinjen adalah luar biasa. Setiap cabaran dijadikan pemangkin untuk memperkukuh persiapan dan azam atlet bagi pertandingan akan datang.